Melihat kepada situasi itu, kita bimbang jika ada graduan yang masih mengharapkan makan gaji semata-mata. Justeru, dengan latar belakang lepasan graduan diploma dan ijazah yang pelbagai dengan kemahiran tertentu penulis yakin para graduan boleh mengambil kesempatan dengan merebut peluang meneroka bidang perniagaan Internet atau perniagaan atas talian. Kesempatan meneroka dan memaksimumkan penggunaan Internet untuk sebarang aktiviti perniagaan yang baik dan boleh menjana pendapatan dalam Islam adalah dipandang mulia.

Bahkan dalam Islam, urusan perniagaan tidak kiralah sama ada menerusi internet atau yang berpremis sebenarnya mempunyai kedudukan yang tinggi sehinggakan Rasulullah SAW menegaskan bahawa kedudukan perniagaan adalah suatu kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan” (Hadis Riwayat Tirmizi). Oleh itu, sesiapa yang menjalankan urusan perniagaan sama ada kecil atau besar tetapi masih dalam lingkungan perniagaan, mempunyai kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT.

Konsep perniagaan internet atau perniagaan menerusi Internet dapat dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa memerlukan kos tinggi atau modal yang besar mahupun pengalaman luas dalam perniagaan. Dengan hanya berbekalkan komputer atau telefon pintar dan Internet mereka sudah pun mampu membina perniagaan dan menjana pendapatan sendiri.

Bagi graduan yang masih menganggur, meneroka dan merebut peluang perniagaan di Internet bukanlah sukar. Malah dengan dunia tanpa sempadan, perniagaan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja secara tidak langsung juga dapat memenuhi pesanan pelanggan tidak kira waktu sama ada pagi, petang atau pada sebelah malamnya.

Boleh dikatakan perniagaan internet ini tidak jauh bezanya dengan perniagaan biasa atau yang ada premis. Perniagaan Internet ini masih memerlukan produk untuk dijual dan memerlukan pelanggan untuk membeli. Cumanya, terdapat perbezaan dalam proses transaksi; urusniaga Internet dijalankan secara dalam talian dan kedua-dua belah pihak tidak bersemuka dalam semua proses jual beli tersebut.

Sehingga kini sudah ramai yang berjaya membina rangkaian perniagaan Internet. Ada yang menjual produk kesihatan, pakaian, tudung, kosmetik dan sebagainya. Malah setiap hari kita boleh lihat akan muncul 3 hingga 10 orang peniaga yang mengusahakan perniagaan secara atas talian. Ditambah pula dengan kepesatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menjadikan pengguna internet di negara ini mencecah 18 juta pada 2012 dan dijangka meningkat sehingga 25 juta menjelang 2016. Faktor ini juga adalah penyumbang terbesar kepada perkembangan perniagaan Internet di alam maya ini.

Bahkan juga peningkatan penggunaan telefon pintar di negara kita yang mencecah 63 peratus dengan trend terkini masyarakat lebih suka membeli-belah secara dalam talian turut menggalakkan graduan menceburi perniagaan sebegini. Penglibatan graduan di dalam dunia perniagaan ini dilihat suatu usaha positif untuk perkembangan ekonomi negara, di samping meramaikan lagi industri perniagaan Internet di negara kita.

Di samping itu, kadar penggunaan media sosial seperti facebook yang mencecah kepada 46.6 peratus turut sama menyumbang kepada perkembangan perniagaan Internet ini. Apatah lagi pengiklanan secara percuma di media sosial seperti di facebook ini adalah yang terbaik disebabkan hampir setiap daripada kita mempunyai akaun facebook sendiri.

Maka ruang dan peluang inilah sepatutnya direbut dan dimanfaatkan oleh para graduan yang masih menganggur. Sekali gus tenaga para graduan yang masih segar dan kuat dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya di samping mencari rezeki yang halal. Dengan rezeki dan pendapatan tersebut juga mereka berpeluang mengeluarkan dan menunaikan zakat perniagaan yang adalah salah satu dari rukun Islam.

Namun begitu, graduan yang berminat dalam meneroka bidang baharu ini jangan sesekali terlupa untuk mematuhi garis panduan menurut Islam. Tujuan utama peraturan dan garis panduan ini adalah untuk memastikan kemaslahatan umat Islam dapat dipelihara daripada unsur-unsur yang boleh merosakkan agama, jiwa, akal dan keturunan. Ini adalah selari dengan konsep amanah dan benar dalam perniagaan untuk memastikan usaha memasarkan barangan atau perkhidmatan dibuat dengan betul dan tidak bercanggah dengan etika Islam.

Walaupun menerusi perniagaan Internet, peniaga dan pelanggan tidak bersemuka, namun sebagai peniaga mereka perlu menjaga produk yang bakal sampai di tangan pelanggan dengan sebaik-baik yang mungkin. Ini penting untuk menjaga dan mewujudkan pelanggan yang setia terhadap produk yang ditawarkan di pasaran. Perkara ini tidak boleh diambil dengan mudah.

Oleh itu, bagi para graduan yang cuba berjinak-jinak untuk meneroka dan menceburi bidang perniagaan Internet, perlu menguasai ilmu terlebih dahulu. Sebaik-baiknya belajarlah daripada mentor sebelum memulakan perniagaan Internet ini. Siapa tahu graduan yang baharu berjinak-jinak memulakan perniagaan Internet pada hari ini boleh bergelar seorang usahawan berjaya atau seorang jutawan tiga tahun akan datang.

Oleh : NOR HARTINI SAARI. PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).